Wednesday, May 16, 2012

Kesan pengecutan otot

Gambar hiasan.

ASSALAMUALAIKUM DR.

SAYA ialah pelajar di sebuah IPTA. Saya mempunyai satu masalah iaitu kadang-kala buah zakar saya memutar dari bawah ke atas dengan sendiri. Bagi pengetahuan Dr, saya baru berusia 24 tahun dan belum mendirikan rumahtangga. Selepas saya membuang air kecil, ia mula memutar dan berhenti selepas beberapa saat. Semasa berjalan dan bersin, saya juga berasa ia bergerak dengan sendiri buat seketika.
Untuk pengetahuan Dr., saya tidak merasa sakit malah tidak ada sebarang tanda bengkak pada buah zakar. Saiznya juga adalah normal. Keadaan ini tidak berlaku selepas saya bangun daripada tidur.
Saya mengalami masalah ini sejak dua tahun yang lalu. Saya berharap pihak Dr. dapat membantu saya. Adakah keadaan ini boleh menyebabkan kemandulan?
n Din, Labuan.

Saudara Din,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas persoalan yang ditanya. Seperti biasa, dengan gambaran yang diberikan oleh saudara dan tanpa pemeriksaan fizikal terhadap kerandut buah zakar saudara, saya cuma dapat membuat beberapa andaian sahaja yang mungkin kurang tepat. Kemungkinan besar masalah yang dihadapi saudara adalah disebabkan oleh pengecutan otot kremaster yang merupakan sebahagian daripada korda spermatik (struktur yang memegang buah zakar). Pengecutan otot ini menyebabkan buah zakar tertarik ke atas sedikit dan boleh menyebabkannya berputar.

Mungkin saudara mempunyai korda spermatik yang panjang sedikit. Apabila otot kremaster rileks, maka buah zakar akan turun ke posisi asal. Bagi memastikan saudara tidak mengalami masalah lain seperti penyakit uluran (hernia) atau lain-lain, eloklah kiranya melakukan pemeriksaan doktor. Begitu juga, pemeriksaan dapat memastikan saudara tidak berisiko untuk mendapat masalah terpulas 'torsion' buah zakar yang perlu mendapat rawatan segera. Saiz buah zakar yang saudara katakan normal juga perlu disahkan oleh doktor dengan pengukuran menggunakan orkidometer.

Bagaimanapun, saya merasakan keadaan yang saudara alami tidaklah serius dan tidak akan menjejaskan tahap kesuburan saudara.

Monday, May 14, 2012

Ereksi petunjuk kesihatan

Ereksi petunjuk kesihatan

PASANGAN yang memiliki kualiti ereksi berasa lebih gembira dan yakin. - Gambar hiasan


SALURAN darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi. Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik memberitahu, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan mencukupi.
“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat,” kata Teng Aik.
Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah.
Jelas Teng Aik, pembentukan plak dan lemak akibat pertambahan kolesterol di dalam badan mampu menyekat saluran darah.
Oleh kerana saluran darah zakar lebih kecil berbanding pada bahagian lain tubuh, tanda awal kepada masalah kesihatan kardiovaskular ditunjukkan oleh tahap ereksi.
“Penyakit kardiovaskular menyebabkan sekatan kepada aliran darah ke bahagian zakar dan menyebabkan masalah mati pucuk.
Tahap
“Sebenarnya dalam tempoh tiga tahun selepas masalah mati pucuk dikesan, pesakit berisiko mendapat penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung selain diabetes dan obesiti.
“Merokok dan amalan sedentari atau gaya hidup tidak aktif turut memberi kesan kepada kemerosotan kekuatan ereksi zakar.
“Apa yang ramai orang tidak sedar adalah kualiti ereksi rendah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung,” kata Teng Aik.
Terdapat empat tahap ereksi iaitu mati pucuk teruk, mati pucuk sederhana, ereksi separa optima dan ereksi optima.

ZAKAR akan menegang jika kedua-dua tisu korpus kavernosum dipenuhi darah.


Bagaimanapun, tahap tiga dan empat iaitu ereksi separa optima dan ereksi optima sahaja yang mampu untuk melakukan penetrasi dan menjayakan hubungan seksual.
Menurut Teng Aik, biarpun kedua-dua tahap itu mampu menyumbang kepada kejayaan aktiviti seksual, namun kesannya menunjukkan perbezaan yang ketara.
“Jelas sekali bahawa ereksi separa optimum boleh membawa kekecewaan dalam kepuasan seksual buat seorang lelaki. Zakar tidak menegang sepenuhnya walaupun ia berkeupayaan untuk melakukan penetrasi.
“Risiko untuk mendapat penyakit jantung iskemik bagi mereka yang menghadapi masalah ereksi tahap tiga adalah lebih tinggi berbanding mereka di tahap empat kerana faktor ketidakpuasan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.
Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.
“Sekiranya memenuhi keperluan seksual, pasangan mereka akan rasa lebih disayangi. Sebanyak 93 peratus lelaki dan 83 peratus wanita memilih kekuatan dan ketegangan zakar sebagai faktor yang memberi kepuasan seksual,” ujar Wah Yun.
Wah Yun menjelaskan, usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar.
Gangguan kepada keupayaan tersebut yang dialami oleh mereka yang berusia emas adalah dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular yang dihidapi.
“Tidak kisah tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” kata Wah Yun.