Gambar -sekadar hiasan |
RAMAI mengadu hubungan seks suami isteri menjadi semakin hambar apabila usia masing-masing semakin meningkat. Hilang unsur liar dalam keintiman walau pun salah seorang masih mempunyai keinginan memuncak.
Ada pandangan nakal cuba mengaitkan hubungan dingin tersebut berlaku kerana ia dilakukan hanya dengan pasangan yang sama dan tidak jika usia pasangan mereka jauh lebih muda.
Hakikatnya, ramai tidak mengerti yang hubungan tersebut juga sebenarnya perlu berubah mengikut usia.
Mungkin mereka tidak perasan yang keliaran hubungan tersebut bukan lagi menjadi fokus utama, bahkan telah diganti dengan perasaan kasih sayang, keselamatan dan keselesaan walaupun hanya sekadar melibatkan sentuhan mesra antara kedua belah pihak.
Salah faham ini merbahaya kerana akan menyebabkan kerisauan keterlaluan tidak mampu memberi prestasi baik sebaik waktu mereka muda dahulu.
Kerisauan ini dipanggil performance anxiety. Contohnya, sekiranya mereka tetap cuba untuk bertahan lama atau mencapai orgasma berkali-kali. Masa dan usia tidak menipu. Percubaan ini akhirnya pasti akan membawa kepada perasaan kecewa, malu dan tidak puas hati.
gambar-sekadar hiasan |
Ada pelbagai jenis penyakit berkaitan dengan masalah hubungan seks sebegini, tetapi apa yang akan dibincangkan adalah mengenai hypoactive sexual desire disorder (HSDD).
Merujuk kepada DSM-IV, seseorang itu dikatakan mengalami penyakit ini jika mereka tidak lagi mempunyai sebarang ingatan, kehendak atau nafsu untuk melakukan hubungan seks dengan pasangan sehingga menyebabkan kehidupan dan rumah tangga mereka menjadi tidak harmoni atau huru-hara.
Masalah HSDD ini lebih banyak berlaku kepada kaum wanita. Ini kerana kaum lelaki lebih popular dengan masalah mengekalkan ereksi atau mati pucuk berbanding masalah ketiadaan nafsu. Walaupun sebenarnya masalah ini boleh berlaku kepada kaum lelaki juga.
Punca HSDD
Bagi lelaki, perselisihan faham dan performance anxiety menjadi penyebab utama. Dalam setiap perselisihan faham antara pasangan, lelaki biasanya akan memberi tindak balas marah dan wanita pula akan merajuk.
Perasaan marah ini akan membantutkan nafsu si lelaki dan jika berpanjangan akan menyebabkan HSDD.
Sebab lain adalah kerana kekurangan hormon testosteron akibat keadaan andropause dan komplikasi saraf seperti penyakit kencing manis dan sebagainya.
Agak kontroversi untuk diperkatakan tetapi pernah berlaku, kecurangan biasanya akan menyebabkan perasaan bersalah sama ada terhadap Tuhan atau pasangan.
Kerap si lelaki akan memberi alasan mengalami masalah mati pucuk sedangkan mereka sebenarnya tidak mempunyai nafsu sama-sekali terhadap pasangan sendiri.
Bahkan, agak menggelikan hati bila ada yang menyalahkan ia akibat buatan orang atau ilmu hitam walhal yang salah ialah diri sendiri.
Punca utama HSDD di kalangan kaum wanita pula adalah kerisauan juga, tetapi mereka biasanya memberi alasan letih atau penat. Sebenarnya, otak amat mempengaruhi kehendak dan minat mereka terhadap seks. Peningkatan usia akan disertai dengan peningkatan tanggung-jawab.
gambar-sekadar hiasan |
Bagi pasangan yang mempunyai ramai anak perasaan takut terlajak atau termengandung juga boleh menyebabkan masalah ini.
Bagi yang baru melahirkan anak pula, kesibukan menguruskan bayi dan tidak cukup tidur menjadi faktor utama. Penggunaan kaedah perancang kehamilan dan pengambilan rehat secukupnya boleh membantu tetapi biasanya gangguan dari anak-anak kecil pula akan menghantui fikiran dan ini mengambil masa untuk diselesaikan.
Wanita amat sensitif dengan perubahan hormon di dalam badan. Keadaan seperti pre-menstrual syndrome (PMS), menopause dan pembedahan ginekologi misalnya, juga boleh menyebabkan HSDD.
Selain itu, peningkatan usia juga menyebabkan ada wanita yang merasakan diri mereka tidak lagi menarik dan secantik dahulu.
Sedangkan perkara ini sepatutnya tidak menjadi masalah kerana pasangan mereka juga berubah mengikut usia. Bergantung kepada punca permasalahan, sama ada perubatan, psikologi atau hormon, kesemuanya mempunyai kaedah dan cara perawatan tertentu. Jangan putus asa dan dapatkan bantuan segera.
No comments:
Post a Comment